Privacy Notice

NOTIS PRIVASI 

KOLEJ UNIVERSITI ANTARABANGSA MAIWP (UCMI)

Notis Privasi ini (“Notis Privasi”) menerangkan bagaimana Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi Sdn Bhd dan institusi berkaitan seperti Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (“UCMI”) dan Pusat Hemodialisis MAIWP PICOMS (“PHMP”) (secara kolektif “kami”) memproses data peribadi yang boleh atau mungkin kami perolehi dari anda termasuk semasa anda memohon untuk melanjutkan pelajaran di UCMI, memohon pekerjaan di UCMI, mendapatkan rawatan di PHMP, menerima perkhidmatan dari kami, memberi perkhidmatan kepada kami, memasuki proses perolehan atau apa jua akses yang digunakan sama ada secara atas talian mahupun secara fizikal.

Dengan memberikan data peribadi anda kepada kami, mengakses laman sesawang kami dan menggunakan perkhidmatan kami, anda dengan ini bersetuju untuk terikat dengan Notis Privasi ini. Anda juga boleh mengesahkan bahawa semua data peribadi yang anda berikan adalah tepat dan lengkap, dan tidak ada yang mengelirukan atau tidak terkini. Anda akan memaklumkan kepada kami dengan segera sekiranya terdapat apa-apa perubahan kepada data peribadi anda. Jika anda berumur kurang daripada 18 tahun, anda dikehendaki memastikan bahawa ibu bapa atau penjaga anda memberi persetujuan bagi pihak anda untuk terikat dengan Notis Privasi ini.

Kami berhak meminda Notis Privasi ini pada bila-bila masa mengikut budi bicara kami sepenuhnya, dan pindaan tersebut akan berkuat kuasa serta-merta apabila Notis Privasi yang telah dipinda itu disiarkan di dalam laman sesawang kami. Anda bersetuju untuk menyemak Notis Privasi ini dari masa ke semasa supaya anda akan dapat mengambil maklum sebarang pindaan tersebut, dan anda menerima serta bersetuju untuk terikat dengan Notis Privasi yang telah dipinda tersebut.

Kami komited untuk memproses data peribadi anda dalam mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (“APDP”).

  1. Jenis-jenis Data Peribadi Yang Dikumpul

a) Pengguna Laman Sesawang

Tidak terhad kepada sebarang maklumat yang boleh menyebabkan identiti anda dikenal pasti secara atas talian.  

b) Pelajar dan Bakal Pelajar

Tidak terhad kepada Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan, Tarikh Lahir, Tempat Lahir, Agama, Bangsa, Jantina, Alamat, Warganegara, Nombor Telefon, Alamat E-mel, Nombor Akaun Bank, Maklumat Perubatan iaitu jenis darah, alahan, sejarah perubatan dan sebagainya, Maklumat Akademik dan rakaman serta imej keselamatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) termasuk gambar.

c) Ibu Bapa atau Penjaga Pelajar dan Bakal Pelajar

Tidak terhad kepada Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan, Tarikh Lahir, Tempat Lahir, Agama, Bangsa, Jantina, Alamat, Warganegara, Nombor Telefon, Alamat E-mel, Pekerjaan, Pendapatan dan rakaman serta imej keselamatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) termasuk gambar.

d) Pekerja dan Bakal Pekerja

Tidak terhad kepada Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan, Tarikh Lahir, Tempat Lahir, Agama, Bangsa, Jantina, Alamat, Warganegara, Nombor Telefon, Alamat E-mel, Nombor Akaun Bank, Nombor Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Nombor Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nombor Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Maklumat Perubatan iaitu jenis darah, alahan, sejarah perubatan dan sebagainya, Maklumat Akademik, Status Perkahwinan, Nama Ibu Bapa, Nama dan butiran Anak, Nama Adik Beradik, Nama dan butiran Pasangan,  dan rakaman serta imej keselamatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) termasuk gambar.

e) Pembekal Perkhidmatan, Vendor, Kontraktor

Nama dan butiran Pengarah, butiran Pemegang Saham, Nombor Telefon, Nombor Faks, Alamat, Alamat E-mel, Nombor Pendaftaran Syarikat/Perniagaan, Nombor Pendaftaran Kementerian Kewangan, butiran perniagaan dan rakaman serta imej keselamatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) termasuk gambar.

f) Penerima Rawatan di PHMP

Tidak terhad kepada Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan, Tarikh Lahir, Tempat Lahir, Agama, Bangsa, Jantina, Alamat, Warganegara, Nombor Telefon, Alamat E-mel, Data Sensitif seperti Maklumat Perubatan iaitu jenis darah, alahan, sejarah perubatan dan sebagainya, Status Perkahwinan, Nama dan butiran Pasangan dan Anak, dan rakaman serta imej keselamatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) termasuk gambar.

  1. Tujuan Pengumpulan Data Peribadi

a) Untuk tujuan penyimpanan rekod dalaman, pentadbiran, tadbir urus dan pematuhan, termasuk tetapi tidak terhad kepada pengauditan, analisis data, rekod pangkalan data, statistik dan pelaporan konflik kepentingan.

b) Untuk memberi kepada anda maklumat yang anda mungkin mohon daripada kami dan/atau untuk berkomunikasi dengan anda.

c) Untuk memproses permohonan kemasukan pelajar dan memastikan kelayakan akademik pelajar bersesuaian dengan program yang dipilih.

d) Untuk urusan mendapatkan bantuan penajaan kepada pelajar

e) Untuk memberikan perkhidmatan rawatan kepada anda.

f) Untuk tujuan menghubungi dalam keadaan berlakunya kecemasan.

g) Untuk memaklumkan mengenai kemajuan, pencapaian, pelaporan disiplin pelajar, yuran pengajian, bayaran tertunggak atau bayaran lain yang berkaitan.

h) Untuk memproses permohonan pekerjaan dan menilai kelayakan untuk sesuatu pekerjaan.

i) Untuk apa-apa pemeriksaan latar belakang termasuk tetapi tidak terhad kepada pemeriksaan pendidikan, pemeriksaan rekod pekerjaan yang lepas, pemeriksaan rujukan, sejarah kebankrapan dan/atau pemeriksaan latar belakang jenayah.

j) Untuk mentadbir gaji, faedah, surcaj, potongan dan tuntutan seperti tuntutan perubatan, tuntutan lebih masa dan lain-lain.

k) Untuk mewujudkan keperluan latihan atau peningkatan kemahiran dan kerjaya.

l) Untuk urusan audit dalaman MAIWP dan syarikat.

m) Untuk urusan penilaian dan pemeriksaan prestasi dan keupayaan syarikat yang menyertai proses perolehan kami.

n) Untuk menyelenggara, menambah baik atau meningkatkan pengalaman laman sesawang kami.

o) Untuk apa-apa kewajipan kontrak yang dimeterai oleh kami.

p) Untuk tujuan keselamatan, siasatan, pencegahan dan pengesanan jenayah.

q) Untuk tujuan atau berkaitan apa-apa prosiding undang-undang.

r) Untuk apa-apa tujuan lain yang dikehendaki atau dibenarkan oleh mana-mana undang-undang, peraturan, garis panduan dan/atau pihak berkuasa kerajaan atau kawal selia yang berkaitan; dan

s) Untuk apa-apa tujuan lain yang bersampingan dengan atau menjadi tambahan atau sebagai lanjutan kepada tujuan-tujuan di atas yang tidak disebutkan secara khusus di sini.

  1. Penzahiran Data

Data peribadi anda mungkin didedahkan kepada pihak ketiga yang berkaitan (di dalam atau di luar Malaysia) termasuk tetapi tidak terhad kepada:

a) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

b) Agensi kerajaan atau kawal selia untuk mematuhi keperluan undang-undang, kawal selia dan kerajaan, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang, jabatan kerajaan, pihak berkuasa berkanun dan sebagainya.

c) Pihak ketiga yang dilantik oleh kami untuk memberikan perkhidmatan kepada kami atau bagi pihak kami seperti mereka yang memproses data peribadi bagi pihak kami.

d) Pihak ketiga yang dilantik oleh kami untuk membantu melicinkan urusan kami dalam memberikan perkhidmatan kepada anda.

e) Mana-mana individu yang kepadanya kami terpaksa atau dikehendaki untuk membuat penzahiran di bawah undang-undang atau sebagai tindak balas kepada sebuah agensi yang cekap or agensi kerajaan.

f) Syarikat, organisasi, dan/atau penyedia perkhidmatan yang lain untuk menjalankan mana-mana daripada Tujuan-tujuan yang dinyatakan.

g) Mana-mana agensi pelaporan kredit/pemungut hutang (terhad kepada kes dimana wujudnya proses tuntutan bayaran tertunggak yang gagal dibayar. 

  1. Hak Anda untuk Mengakses dan Membetulkan Data Peribadi Anda

Anda mempunyai hak untuk memohon akses kepada data peribadi anda yang ada dalam simpanan kami, atau untuk membetulkan data peribadi tersebut. Anda boleh membuat permohonan tersebut dengan menghubungi kami menggunakan butiran seperti yang dinyatakan di bawah.

Kami boleh menolak untuk tidak memenuhi permintaan anda, tetapi kami akan memaklumkan kepada anda sebab-sebab kami tidak dapat berbuat demikian.

  1. Hak Anda untuk Membuat Pilihan Terhadap Data Peribadi Anda

Anda boleh membuat pilihan untuk menghadkan penggunaan atau tahap penggunaan data peribadi anda dan data peribadi berkaitan dengan individu lain yang boleh dikenal pasti daripada data peribadi tersebut, tertakluk sentiasa kepada hak kami di bawah kontrak dan/atau hak dan kewajipan kami di bawah undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

  1. Impak Kegagalan Membekalkan Data Peribadi

Data peribadi yang diminta oleh kami adalah penting untuk kami gunakan bagi tujuan-tujuan yang dinyatakan di atas. Sekiranya anda menolak untuk memberikan data peribadi tersebut, ia mungkin, antara lain, menghalang kami daripada berkomunikasi atau meneruskan komunikasi dengan anda atau memberi kesan terhadap aspek-aspek tertentu berkaitan pengambilan kerja anda dengan kami, pengambilan pelajar atau menggunakan perkhidmatan anda melalui proses perolehan.

Jika anda tidak bersetuju untuk memberikan data peribadi tersebut, kami berhak untuk tidak membenarkan anda masuk ke premis-premis kami, menolak permohonan anda sama ada permohonan sambung belajar, permohonan kerja atau pun permohonan menyertai proses perolehan.

  1. Hubungi Kami

Anda boleh menghantar aduan, permintaan untuk mengakses dan/atau membetulkan data peribadi anda, meminta untuk mengehadkan pemprosesan data peribadi anda dan/atau membuat apa-apa pertanyaan berkenaan dengan data peribadi anda dengan menghubungi melalui e-mel: [email protected]

(DIKEMASKINI PADA 28 OGOS 2023)

sharing is caring!

Translate »
Skip to content